Thursday, September 29, 2011

Fikir dulu sebelum menceburi Kegiatan Forex

Forex perniagaan kontroversi

Tarikh Disiarkan: 
11 Jun, 2011 (All day)
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
 
 
 
 
 
PASTINYA ramai di antara kita pernah mendengar dan terjebak dalam perdagangan matawang asing atau lebih dikenali sebagai 'forex'.
 
Sememangnya perniagaan tersebut cukup popular di kalangan masyarakat hari ini kerana pulangannya yang cukup lumayan sehingga mampu mencecah ribuan ringgit sebulan.
 
Forex ialah aktiviti yang melibatkan urusniaga satu matawang kepada matawang yang lain. Para peniaga matawang asing mendapat keuntungan melalui perbezaan harga beli dan harga jual sesuatu matawang.
Secara umumnya aktiviti tersebut dilakukan dengan beberapa kaedah. Antaranya melabur dalam syarikat yang menjalankan forex di mana suatu jenis perdagangan atau transaksi yang memperdagangkan matawang sesuatu negara terhadap matawang negara yang lain selama 24 jam secara berterusan.
 
Atau kaedah lain pula ia dijalankan secara sendirian. Iaitu dengan melantik satu platform atau syarikat untuk menjalankan jual beli wang asing dan simpan.
 
Namun, tidak ramai yang mengetahui hukum menyertai perniagaan tersebut sama ada dibolehkan atau sebaliknya.
 
Sebenarnya banyak pakar kewangan Islam ada membincangkan berkenaan menyertai aktiviti tersebut. Bagaimanapun akibat tiada fatwa khusus yang dikeluarkan.
 
Berdasarkan Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam Malaysia yang bersidang baru-baru ini ada membincangkan secara langsung hukum perniagaan itu.
 
Muzakarah tersebut dibahaskankan oleh dua kumpulan melalui tiga pembentangan iaitu kumpulan pertama terdiri daripada penyelidik Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Profesor Madya Dr. Muhammad Som, Dr. Marjan Muhammad, Luqmanul Hakim Hussain dan Wan Norhaziki Wan Abdul Halim.
 
Kumpulan kedua pula dianggotai penyelidik dari Universiti Utara Malaysia iaitu Profesor Madya Dr. Asmadi Mohd Naim, Dr. Hasniza Mohd Taib dan Dr. Muhammad Nasri Hussain.
 
Hasil daripada pembentangan kedua-dua kumpulan itu telah membangkitkan beberapa isu penting yang menyebabkan aktiviti tersebut tidak dibenarkan dari segi hukum syarak kerana terdapat unsur-unsur riba dan perjudian yang jelas dilarang dalam Islam.
 
Muzakarah oleh kumpulan pertama itu membincangkan mengenai perdagangan matawang individu secara lani (individual spot forex) yang dijalankan melalui platform Internet.
 
Secara umumnya, untuk seseorang individu memulakan perdagangan matawang asing secara dalam talian (online), beberapa perkara perlu disediakan iaitu talian Internet, platform matawang asing dan akaun kewangan.
 
Lalu isu syariah yang timbul daripada spot forex itu apabila diperincikan kepada syarat-syarat jual beli matawang asing antaranya pinjaman (leverage atau qard), caj broker (rollover interest), penerimaan (Qabd), menjual matawang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian ternyata ia tidak mengikut landasan syarak yang telah digariskan berhubung jual beli matawang (bay' al-Sarf).
 
Di dalam feqah (ilmu yang menerangkan segala hukum syarak yang diambil daripada Al-Quran dan Sunnah Rasululllah s.a.w.), ia meletakkan syarat akad jual beli lain tidak boleh disekalikan dengan akad pinjaman. Ia dikenali dengan permasalahan 'bayn wa salaf' iaitu jual beli berserta dengan pinjaman.
Pengharaman jual beli itu disepakati seluruh ulama berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Tidak halal salaf (pinjaman) beserta jual beli". (riwayat Abu Daud).
 
Hadis itu secara nyata menunjukkan haram menghimpunkan antara akad pinjaman dan akad jual beli dalam satu akad.
 
Di dalam konteks perdagangan forex, ia didapati termasuk di dalam umum larangan ini kerana broker hanya menyediakan pinjaman di atas nama leverage kepada pedagang yang membuka posisi di platformnya sahaja.
 
Dan dimaklumi bahawa perdagangan forex adalah satu bentuk jual beli iaitu pertukaran wang dengan wang, yang dinamakan 'bay Sarf', dan ia termasuk dalam umum jual beli yang disebut dalam hadis.
 
Unsur kombinasi antara dua akad tersebut dikemukakan sebagai hujah oleh Akademi Fiqh Islam yang memutuskan tidak membenarkan perniagaan berdasarkan margin dalam satu resolusi yang dibuat pada persidangan ke-18 pada 12 April 2006.
 
Isu yang yang timbul daripada kewujudan unsur pinjaman daripada broker ialah terdapatnya riba yang jelas melalui faedah atau bunga.
 
Selain itu, persidangan tersebut juga memutuskan bahawa caj rollover yang dikenakan oleh penyedia platform spot forex terdapat unsur riba melalui penerimaan atau pemberian faedah rollover oleh pedagang forex.
 
Selain isu halal dan haram, perdagangan matawang asing juga melibatkan undang-undang Malaysia.
Sejak dahulu lagi, Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah.
 
Malah, terdapat peruntukan perundangan yang jelas berhubung larangan tersebut, iaitu melalui Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1), (2) dan (3) Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953 yang melarang individu berurus niaga matawang asing, kecuali setelah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Asing, iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia.
 
Manakala, muzakarah oleh kumpulan kedua pula merumuskan mengenai perdagangan matawang asing dalam talian (forex online) adalah tidak dibenarkan dalam Islam kerana terdapat perkara yang menyalahi hukum iaitu pembelian wang tunai dilakukan secara kredit adalah terang-terangan bertentangan dengan kontrak sarf (perdagangan matawang asing) dan mengandungi unsur riba.
 
Unsur pemberian pinjaman yang terdapat dalam forex online oleh broker turut tidak dibenarkan kerana mengandungi unsur riba apabila broker itu mendapat manfaat daripada pinjaman seperti syarat yang dikenakan.
 
Dalam masa sama, didapati juga urusniaga tersebut mengandungi unsur perjudian apabila ia secara jelas bergantung kepada turun naik harga atau angka yang ternyata dilarang oleh syarak.
 
Melalui perbincangan ilmiah itu kesedaran mengenai bahaya perniagaan yang mempunyai unsur-unsur riba adalah untuk menjaga kemaslahatan umat Islam daripada memperoleh sumber rezeki yang meragukan dan bukannya berdasarkan perasaan iri hati atau pun mempunyai kepentingan peribadi.
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 11 Jun 2011.

No comments:

Post a Comment

Welcome to POWER ONLINE TOOL's site!
First Name:
Last Name:
Email:
Confirm Email:
Phone:
 
Privacy Policy | Click Here to Help Us Fight Spam!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Facebook Pages

My Ilmu and Spiritual Blog
Listen to Quran