PANAS, panas, panas! Cuaca panas, hati pun panas. Benarkah peningkatan suhu juga boleh meninggalkan kesan psikologi, mempengaruhi tingkah laku manusia dengan menjadikan mereka bertambah agresif?
Jika di negara-negara Barat, kajian mengenainya bukan sedikit dilakukan dalam tempoh lebih sedekad lalu.
Malah, istilah gangguan akibat perubahan musim atau seasonal affective disorder (SAD) sudah agak sinonim dengan negara-negara Barat yang mengalami empat musim.
Dianggarkan setengah juta rakyat England mengalami kemurungan tahunan setiap kali musim salju yang berlaku antara September dan April.
Keadaan ini berpunca daripada ketidakseimbangan biokimia di dalam bahagian otak yang dipanggil hipotalamus.
Sementara itu, isu pemanasan global dan Kyoto, ozon yang semakin menipis, paras laut yang kian meningkat, gurun yang semakin terbentang luas dan rumah hijau - turut menyumbang kepada kajian demi kajian bagi memahami hubungan langsung di antara kehangatan suhu dengan perilaku manusia.
Pernahkah anda berkurung atau tidur di dalam sebuah bilik yang agak panas khususnya pada musim kemarau ini? Kipas atau alat penghawa dingin sekalipun kurang membantu.
Apakah perasaan anda ketika itu? Jangan hendak sengelat. Sekurang-kurangnya anda akan berasa kurang selesa dan serba tidak kena, bukan?
Berdasarkan kajian makmal yang dilakukan oleh sekumpulan pakar psikologi sosial, hanya dengan berada di dalam sebuah bilik dengan suhu yang lebih hangat boleh menukar seseorang itu menjadi lebih pemarah.
Hasilnya adalah berbeza jika mereka ditempatkan di dalam ruang yang lebih menyelesakan. Bukan itu sahaja, pemikiran-pemikiran agresif juga boleh tercetus.
Ini terbukti menerusi kajian makmal berasingan di mana pasangan yang diajukan dengan sedikit provokasi cenderung untuk mencederakan di antara satu sama lain.
Demikian juga halnya dengan mereka yang bekerja dalam persekitaran panas yang akan menyumbang kepada tindak balas lebih bersifat permusuhan terhadap apa-apa jua yang boleh menimbulkan kemarahan dan menyakitkan hatinya.
Penyelidikan saintifik berkenaan isu ini di luar negara juga sudah mencapai tahap di mana tumpuan diberikan terhadap keganasan dan kegiatan jenayah.
Malah, kadar jenayahnya adalah berbeza-beza mengikut tempat di mana kawasan lebih panas mencatatkan aktiviti itu yang lebih tinggi.
Bukan itu sahaja, hari, bulan, musim mahupun tahun-tahun tertentu juga didapati boleh menghasilkan kadar jenayah yang lebih daripada biasa. (Journal of Personality, Vol. 73, No. 6, 1213 - 1223, isu Disember 1997).
Pakar Runding Psikiatri dan Psikoterapi, Jabatan Perubatan Psikologikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Stephen T. Jambunathan mengakui kaitan yang sudah lama wujud di antara faktor persekitaran dengan tingkah laku manusia.
Bagaimanapun, dalam konteks iklim semasa, beliau menjelaskan:
``Memang ada hubung kait di antara cuaca panas dengan tingkah laku manusia selain ancaman kesihatan yang boleh membawa maut disebabkan oleh cuaca panas terik.
``Walaupun bukan secara langsung, namun, mana-mana perubahan persekitaran yang radikal seperti daripada sejuk ke panas atau sebaliknya, mungkin menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah pengubahsuaian,'' katanya.
Menurutnya, masalah-masalah yang mungkin dihadapi adalah seperti kurangnya rasa toleransi, tolak ansur atau timbang rasa, lekas marah dan mengalami tekanan.
Keadaan-keadaan tersebut seterusnya mendorong seseorang membuat keputusan-keputusan yang kurang waras dan bertentangan daripada kelazimannya.
``Masalah pengubahsuaian ini boleh terjadi khususnya kepada seseorang yang tiada kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru.
``Mereka tidak berapa kebal, tidak mempunyai jiwa atau semangat yang kental, mudah goyah ataupun mudah sensitif lebih daripada orang lain,'' kata Dr. Stephen.
Ditanya apakah yang membezakan tahap penerimaan seseorang terhadap sesuatu perubahan itu, katanya, semua hal minda dipengaruhi oleh tiga faktor penting atau ringkasnya biopsikososial:
- Biologikal; genetik seperti bapa yang panas baran
- Psikologikal; cara berfikir seseorang yang mempengaruhi bagaimana tindak balas mereka terhadap orang lain
- Sosiologikal; persekitaran seperti perubahan alam sekitar, dibuang kerja, berhadapan dengan penyakit.
Seseorang individu yang sememangnya dipengaruhi oleh faktor-faktor di atas akan cuba `memelihara' diri sendiri secara salah seperti naik angin dan bukannya dengan mencari suasana lebih sejuk untuk menenangkan diri sendiri.
Jika keperluan itu gagal diperoleh, akan menambahkan lagi kekecewaan mereka dan memburukkan keadaan bagi yang sedia mempunyai penghakiman negatif, kata beliau.
Mengulas kegiatan jenayah yang dikatakan agak menjadi-jadi serta kaitannya dengan suhu panas yang luar biasa kebelakangan ini, Dr. Stephen mengakui:
``Suhu yang panas juga boleh menyebabkan pemikiran-pemikiran yang agresif sehingga mereka berani melanggar undang-undang.
``Untuk pengetahuan, kebanyakan jenayah yang dilakukan bukan berpunca daripada masalah minda (mental yang tidak sihat) tetapi lebih kepada personaliti atau persekitarannya,'' ujar beliau.
Mengenai sama ada ia turut membabitkan perubahan hormon, memetik seorang pakar psikologi dari University of Glamorgan, Dr. Lance Workman yang berjaya mewujudkan kaitan di antara suhu panas dengan tahap serotonin.
Bahan kimia neurotransmiter yang dirembeskan di dalam otak itu memberikan kesan sampingan terhadap tindak-tanduk agresif.
Sekadar memetik beberapa hipotesis kepanasan di luar negara.
Pakar psikologi, Iowa State University, Dr. Craig Anderson mendedahkan, seseorang menjadi marah di antara satu sama lain, bergaduh dan ada kalanya sampai ke tahap membunuh disebabkan oleh suhu yang panas.
Pendek kata, psikologi seseorang itu lebih mudah bangkit dan terusik disebabkan oleh kepanasan.
``Satu-satu pertelingkahan itu lazimnya tidak bermula dengan insiden besar tetapi beberapa siri provokasi kecil.
``Dan peningkatan kebangkitan perasaan negatif itu tidak akan terhenti di situ sahaja tetapi biasanya akan mencapai satu tahap yang lebih tinggi,'' katanya.
Malah, jelas penyelidik dari Amerika Syarikat itu lagi, peningkatan sekadar dua darjah fahrenheit sahaja boleh menyebabkan penambahan sehingga 24,000 kes bunuh dan yang bersifat serangan di negara itu sahaja.
Secara umumnya, kajian Rotton mendapati, insiden jenayah berat terhadap sesama manusia seperti menyerang, merompak, bunuh dan rogol meningkat selaras pertambahan suhu.
Keganasan rumah tangga suami terhadap isteri juga termasuk di dalam kategori ini di mana ia lebih banyak berlaku semasa musim panas.
Sebaliknya, insiden jenayah terhadap harta benda seperti kecurian kenderaan serta pecah rumah didapati tidak berkenaan dengan perubahan suhu.
Sementara itu, satu penyelidikan lain yang disiarkan di dalam International Journal of Law and Psychyatry, Boyanowsky berkata, suhu yang lebih sejuk meningkatkan rangsangan seksual kaum lelaki.
``Satu fakta yang sememangnya diketahui umum bahawa kehangatan berupaya memusnahkan hormon seks utama lelaki iaitu testosteron.
``Jadi, mandi mungkin cara yang terbaik bagi mengatasi masalah ini,'' kata pakar kriminologi dari The Simon Fraser University itu.
Berbalik kepada Dr. Stephen, beliau berkata, bagi mengatasi masalah ini secara peribadi, langkah pertama adalah untuk menyedari akan risiko yang mungkin dihadapi dengan perubahan-perubahan cuaca yang tidak menyelesakan ini.
Contohnya, kecenderungan untuk tidak mencapai kata sepakat dan konfrontasi.
``Sekiranya kita berada di dalam keadaan tertekan dan dalam masa yang sama, cuaca tidak membantu, kita sepatutnya menangguh keputusan-keputusan besar.
``Seboleh-bolehnya, elakkan daripada melibatkan diri dalam situasi-situasi yang boleh menambahkan ketegangan ini sehingga kita kembali tenang,'' katanya.
Yang penting sekali, ujar Dr. Stephen, adalah supaya kita memahami bahawa orang lain juga mungkin menghadapi masalah mereka sendiri.
Oleh sebab itu, mereka menunjukkan tindak balas yang tidak sepatutnya.
``Jika kita pula memberikan maklum balas yang serupa, maka akan timbullah masalah yang lebih buruk.
``Cuba latih tubi minda kita bahawa orang lain juga ada masalah seperti mana kita (ada masalah), ini akan menjadikan kita seorang yang lebih memahami sekali gus mengurangkan potensinya,'' katanya.
Panas cetus perilaku agresif
Oleh Shafinaz Sheikh Maznan ukm
No comments:
Post a Comment