Thursday, April 26, 2012

Mendidik Anak yang Degil dan Mendisplinkannya




Anda mungkin selalu menghadapi situasi ini, anak anda enggan makan malam bersama bila diajak. Dia berdiam diri apabila diminta mengemas barang mainannya. Membuat bising apabila adik tidur dan lari ketika disuruh mandi. Dia degil, tetapi mengapa dia degil?

Percaya atau tidak, anak yang berusia tiga tahun ke atas berasa kurang bergantung pada anda. Tanda dia sudah membina identitinya sendiri dan berasa lebih selamat, tetapi itu bukan bermakna dia menjadi pemberontak. Kalau anda ingin tahu, berdegil adalah cara untuknya menunjukkan ketegasannya. Jadi apabila dia menolak untuk bekerjasama dengan anda, dia sebenarnya cuba memberitahu anda, “saya tidak sukakan peraturan mama.” Jadi apa yang boleh anda buat?


Cuba memahaminya.

Jika anda meminta dia makan dan dia menjerit tidak mahu, paksaan hanya akan membuatkan dia menangis. Cuba letakkan diri anda di tempatnya. Jika dia sibuk bermain, datang kepadanya, dakap dia dan beritahu dia mengapa perlu makan. Ini untuk memberitahunya secara psikologi, anda sebenarnya mengambil berat dan ingin tahu mengapa dia tidak mahu makan. Jangan marah dia tetapi pastikan juga dia makan apa yang sepatutnya.
Tetapkan hadnya.

Apapun yang dia lakukan, pastikan dia tahu semua itu ada hadnya. Beritahu dia, anda menyayanginya dan apa yang anda lakukan untuk kebaikannya. Jika dia ada masalah mematuhinya (selalunya memang begitu) fikirkan cara terbaik menyelesaikan keadaan itu. Contohnya, jika dia tidak mahu tidur dalam gelap, beri dia lampu suluh atau pasangkan lampu yang bercahaya suram.
Tunjukkan sikap yang baik.

Selain memberi perhatian kepadanya ketika dia nakal dan degil, cuba dekati dia ketika dia dalam ‘angin baik’. Beritahu dia apa yang betul dan tidak betul. Selalunya apabila anak membuat kesalahan, dia akan rasa bersalah. Jadi jangan cepat mengamuk, sebaliknya cakap secara baik dan beritahu dia mengapa anda marah terhadapnya.
Jika Kita Sendiri Bersikap Buruk Bagaimana Dia Membesar Dengan Mengamalkan Sikap Yang Baik?


Contohnya jika bergaduh suami isteri di hadapan anak dengan suara tinggi dan sepak terajang, bukankah logik anak akan membesar dengan sikap yang sama? Anda tentu malu sendiri kalau dia berkata, mengapa abang tidak boleh cakap menjerit-jerit tetapi mama boleh menjerit-jerit pada ayah?


Ingat juga mendisiplinkan anak bukan bermaksud mengawalnya. Sebaliknya, ia bermaksud mengajar dia untuk mengawal dirinya sendiri. Hukuman mungkin akan membuat dia lebih berdisiplin tetapi jika hukuman itu tidak ‘menakutkan’ anak. Dia akan berasa lebih selesa berbuat baik atas kesedarannya sendiri bukan kerana takut dirotan ibu bapa.
Jika kedegilannya benar-benar mencabar, cuba bertenang dan buat dia selesa. Jika rasa marah anda membuak, jauh diri darinya. Bila anda rasa tenang semula, beritahu dia apa yang patut dan tidak patut.
Beri dia peluang untuk membuat pilihan. Mulakan dengan benda yang mudah, beri dia pilihan memilih pakai¬an sendiri. Satu lagi cara membuat dia rasa dia punyai hak mengawal dirinya beritahu dia apa yang dia boleh buat. Jika dia bermain badminton di dalam rumah, daripada berkata ‘jangan bermain badminton dalam rumah’, ajak dia bermain di luar. Jika dia mahukan ais krim pada waktu malam, alihkan perhatiannya dengan memberinya pilihan, kakak hendak makan buah apple atau hendak makan anggur?
Jauhkan situasi yang mungkin membuatkan anda malu dengan kedegilannya. Misalnya jika berjalan-jalan di kompleks membeli belah, dan anda tahu dia sukakan ais krim tetapi anda tidak mahu membelinya, jauhkan dia dari kedai yang menjual ais krim.
Hormati dunia unik anak anda. Mungkin dia sedang leka bermain waktu anda hendak keluar. Dia tidak punya masa untuk memakai kasut dan anda sudah berada dalam kereta. Dia tentu akan membuat perangai kerana takut anda meninggalkannya. Jadi, beritahu dia lima minit sebelum keluar, ‘mama hendak keluar, kalau abang nak ikut, cepat pakai kasut’


Memang semua ini bukan jaminan untuk dia tidak lagi berdegil atau merungut, tetapi dengan kesabaran anda, dia sebenarnya secara perlahan akan belajar bahawa berdegil bukan cara terbaik untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.



Sumber Maklumat: Berita Minggu

1 comment:

  1. alhamdulillah anak saya yg sulung tidak byk perangai dan mudah dengar kata. kadang2 je terkeluar jugak la sifat memberontaknya bila kemahuannya tidak dipenuhi. saya selalu amik pendekatan memujuk. tapi kadang-kadang terlepas juga amarah. maafkan ibu sayang.

    ReplyDelete

Welcome to POWER ONLINE TOOL's site!
First Name:
Last Name:
Email:
Confirm Email:
Phone:
 
Privacy Policy | Click Here to Help Us Fight Spam!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Facebook Pages

My Ilmu and Spiritual Blog
Listen to Quran